Pengenalan
Penamaan merupakan proses menamakan individu sebagai penama/pentadbir (Wasi) untuk menerima/ mentadbir simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.
Kenapa Perlu Membuat Penamaan?
Anda digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP anda kepada orang yang dinamakan itu apabila berlakunya kematian. Rasional, sekiranya anda tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP anda, waris anda akan menghadapi kesukaran untuk menuntut simpanan anda daripada KWSP.
Adakah Anda Layak Membuat Penamaan?
Anda layak menamakan sesiapa sahaja sebagai penama sekiranya:
- Anda berumur 18 tahun atau lebih.
- Anda seorang warganegara Malaysia.
- Warganegara Malaysia yang telah membuat pengeluaran di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara sebelum 1 Ogos 1995 dan kemudiannya memilih untuk mencarum semula dengan KWSP;
Bukan Warganegara Malaysia yang
- Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998;
- Mendapat taraf Penduduk Tetap (PR)
Siapa Yang Boleh Dinamakan?
- Anda boleh menamakan mana-mana ‘orang sebenar' sebagai penama/pentadbir. Mana-mana ‘orang sebenar' adalah merujuk kepada individu dan bukannya organsasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya.
- Anda dinasihatkan menamakan waris terdekat seperti suami, isteri, anak-anak dan ibu/bapa untuk menerima/mentadbir simpanan anda. Bagaimanapun, sekiranya anda menamakan bukan waris, penamaan tersebut masih diterima. Risiko, kemungkinan akan berlaku kesulitan pada kemudian hari seperti tuntutan daripada waris.
Penamaan Bagi Ahli Yang Beragama Islam
Bagi ahli yang beragama Islam, orang yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi/pentadbir (administrator) yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan mengikut Hukum Faraid kepada waris-waris ahli yang berhak.
Penamaan Bagi Ahli Bukan Islam
- Penama adalah merupakan penerima mutlak (benefisiari) kepada simpanan ahli yang meninggal dunia.
- Bagi ahli bukan beragama Islam, jika penama meninggal dunia
- Sebelum kematian ahli, pemohon yang layak adalah waris terdekat ahli yang meninggal dunia.
- Selepas kematian ahli, pemohon yang layak adalah waris terdekat penama. Ini kerana penama adalah pemilik mutlak simpanan ahli yang meninggal dunia.
Bagaimana Membuat Penamaan?
Anda dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen berikut dengan lengkap dan teratur:-
- Borang Penamaan (KWSP 4)
- Salinan Kad Pengenalan Diri sama ada;
- Salinan Kad Pengenalan (MyKad)/Kad Pengenalan Polis/Kad Pengenalan Tentera/Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR)
- Salinan Pasport (sekiranya anda bukan warganegara Malaysia yang menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998)
CATATAN:
Borang Penamaan (KWSP 4) mestilah diterima oleh KWSP semasa ahli masih hidup.
Saksi-Saksi Yang Dibenarkan
Anda boleh memilih sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi saksi kepada penamaan anda KECUALI orang yang dinamakan dalam borang penamaan itu, petugas kaunter KWSP dan anggota KWSP.
Bagaimana Penamaan Anda Boleh Terbatal?
Penamaan yang dibuat boleh terbatal sekiranya:-
- Semua orang yang dinamakan meninggal dunia semasa ahli masih hidup.
- Ahli mengemukakan Notis Pembatalan Penamaan (KWSP 4A)
- Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4)
CATATAN:
Penamaan turut terbatal sekiranya ahli membuat pengeluaran penuh di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Hilang Upaya dan Pengeluaran Pekerja Berpencen.
Wasiat tidak membatalkan penamaan.
Bagaimana Mengemaskini Penamaan?
Penamaan boleh dikemaskini dari semasa ke semasa sebelum anda mencapai umur 75 tahun. Pengemaskinian penamaan boleh dibuat dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4) yang baru. Borang KWSP 4 yang baru akan membatalkan penamaan anda yang terdahulu.
Bagaimana Penamaan Boleh Disemak?
Jika anda ingin membuat semakan ke atas penamaan yang telah dibuat, anda boleh menyemak penamaan tersebut melalui cara berikut:-
- Menyemak status penamaan melalui kemudahan i-Akaun (Ahli);
- Hadir di mana-mana Pejabat KWSP;
- Melengkapkan Borang Semakan Penamaan (KWSP 4B) dan menyertakan salinan kad pengenalan/bukti pertalian ke alamat seperti berikut:-
Jabatan Pendaftaran dan Operasi Sokongan
Bangunan KWSP Jalan Gasing,
46598 Petaling Jaya,
Selangor.
(U/P: Unit Penyimpanan dan Penyelenggaraan Dokumen)
Diambil dari laman web KWSP. sini
EmoticonEmoticon