TERGAMAK HALAU EMAK GUNA DUIT ARWAH BAPA
KUALA LUMPUR: Ketika ramai anak memikirkan hadiah sesuai untuk diberikan kepada ibu masing-masing sempena Hari Ibu, Ahad ini, seorang wanita pula ‘berendam’ dengan air mata selepas dihalau anak tunggal yang berang kerana ibu terbabit dikatakan menggunakan wang di dalam akaun arwah bapa tanpa pengetahuannya.
Dalam kejadian yang berlaku pertengahan bulan lalu, wanita malang berusia 61 tahun itu terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk perbelanjaan seharian dan perubatannya akibat anak lelaki tunggalnya yang berusia lingkungan 30 tahun tidak lagi mempedulikannya sejak bapa meninggal dunia pada Oktober lalu akibat serangan jantung.
Penasihat agensi perunding harta pusaka Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd, Ariffin Sabirin (gambar) berkata, berikutan pengeluaran yang dibuat warga emas itu anaknya tergamak menghalau wanita itu dari rumahnya di Shah Alam kerana berpendapat duit akaun itu wang pusaka dan dia sebagai anak lelaki tunggal mempunyai bahagian paling banyak.
Katanya, anak terbabit menuduh ibunya memakan duit haram, malah akibat marah mereka sering bertengkar dan keadaan menjadi lebih buruk apabila isteri si anak masuk campur serta menyebelahi suaminya.
Berikutan itu katanya, akibat terlalu marah, anak menghalau ibu keluar dari rumahnya April lalu dan walaupun ibu enggan tapi terpaksa mengalah kerana rumah terbabit dipindah milik nama anak pada 2008. Ariffin berkata, sehingga kini, kes pusaka itu belum boleh dimulakan kerana banyak dokumen peribadi milik arwah suami wanita itu berada di rumah berkenaan manakala anak enggan bekerjasama dengan ibunya malah melarang wanita itu memasuki kediamannya.
“Hari ini ibu malang itu terpaksa menumpang di rumah adiknya. Kes ini bermula semasa hidup, bapanya membeli sebuah rumah banglo di Shah Alam dan memindah milik rumah itu dari namanya kepada nama anak lelaki pada 2008 atas dasar kasih sayang. “Ketika pindah milik dibuat, perjanjian lisan antara mereka ialah anak akan menjaga kebajikan dan memelihara ibunya sekiranya dia meninggal dunia. “Bagaimanapun selepas bapa meninggal dunia Oktober lalu, anak mula mengabaikan ibu dan meninggalkannya dengan pembantu rumah ketika dia bersama isteri bercuti, malah tidak mempedulikan ibunya walaupun sakit menyebabkan wanita itu terpaksa guna wang dari akaun bersama dengan arwah suaminya untuk perbelanjaan seharian dan perubatannya sebelum dihalau,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/07
Harian Metro
EmoticonEmoticon