HIBAH DALAM URUSAN HARTA ISLAM
KUBANG PASU 19 Mei - Seminar Hibah Dalam Pengurusan Harta Islam Peringkat Kebangsaan 2015 (i-Hibah 2015) mampu menjadi platform untuk ahli akademik, pelaksana dan para penggiat industri pengurusan dan perancangan harta pusaka secara syariah untuk berkongsi ilmu tentang hibah.
Seminar selama dua hari anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula hari ini dengan kerjasama syarikat pengurusan dan perancangan harta pusaka secara Syariah, Wassiyah Shoppe Sdn. Bhd., itu berjaya menarik perhatian sebanyak 400 peserta yang terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Syariah, pegawai-pegawai daerah, pensyarah, pelajar dan orang awam untuk mendalami konsep hibah.
Ketua Pegawai Eksekutif Wassiyah Shoppe Sdn. Bhd., Azrin Sabirin berkata, perhimpunan ketiga-tiga golongan berkenaan dalam seminar tersebut secara tidak langsung dapat membolehkan penyampaian ilmu hibah kepada masyarakat akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
“Sehingga hari ini, tidak ada satu badan mahupun organisasi yang menguatkuasakan soal hibah ini, jadi seminar ini penting supaya dapat memberikan sebuah platform kepada semua pihak.
“Sekiranya suatu hari nanti ada sebarang akta atau enakmen yang akan dibuat berkaitan hibah selepas ini, seminar ini boleh dijadikan rujukan untuk tujuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pusat Islam UUM di sini hari ini.
Yang hadir sama, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim dan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Sheikh Ahmad Faisol Omar yang merasmikan seminar tersebut.
Pada masa sama, Azrin berkata, seminar berhubung pengurusan harta Islam tersebut dapat dianjurkan dalam skala yang lebih besar memandangkan penerimaan hibah makin meluas dalam kalangan masyarakat Islam sejak kebelakangan ini.
“Keadaan itu jauh berbeza berbanding 11 tahun dulu, yang mana Wassiyah Shoppe mula beroperasi pada ketika itu, penerimaan masyarakat memang boleh dikatakan kosong. Tetapi hasil pendidikan dan penerangan yang dijalankan secara berterusan menyebabkan keadaan kini jauh berbeza.
“Selain itu, kesedaran juga telah timbul memandangkan masyarakat Islam kita kini mempunyai kelebihan dari sudut pemilikan aset dan dengan itu menjadikan hibah ini sebagai satu pilihan,” katanya.
Sementara itu, Asmadi berkata, penganjuran seminar tersebut secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan strategik IBS dengan pihak industri dalam bidang pengurusan harta dan perniagaan Islam.
“IBS memberi pengkhususan bukan sahaja terhadap perkembangan ilmu berkaitan perniagaan Islam juga kepada bidang lain seperti hibah, wasiat dan pengurusan Islam secara menyeluruh.
“Soal harta ini perlu diberi perhatian kerana ia mampu menimbulkan konflik dalam rumah tangga apabila berlaku kematian, jadi dengan seminar ini kita dapat uruskan soal harta dengan lebih baik,” katanya.
Berita Utusan
Rabu, 20 Mei 2015
EmoticonEmoticon