Celik Pusaka

Rakan Pewarisan Komprehensif Patuh Syarak Anda

KEDUDUKAN PENAMA DALAM KWSP

Hari ini, 25hb Mei 2010, KWSP muncul di MHI TV3 menjelaskan isu penamaan dalam konteks KWSP. Saya amat tertarik dengan isu ini kerana memang ramai orang tidak faham mengenainya. Isu ini sebenarnya perlu dilihat dari 2 perspektif yang berbeza iaitu dari segi proses dan hak.

Dari segi proses, penamaan akan memudahkan KWSP untuk membayar wang apabila ahli itu meninggal dunia kepada penama yang telah ditetapkan. Di dalam tempoh 3 minggu selepas menuntut ( dengan syarat semua dokumen lengkap ), KWSP boleh memproses dan membayar wang kepada penama.

Tetapi jika tiada penamaan dan akaun KWSP itu bernilai lebih dari RM 25,000, KWSP akan membayar RM 2500 selepas kematian dilaporkan, manakala bakinya hanya akan dibayar di atas nama yang tertera di dalam Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesaka Kecil ( Jika simati mempunyai nilai harta kurang dari RM 2 juta ) atau Mahkamah Tinggi Sivil ( Jika simati mempunyai nilai harta lebih dari RM 2 juta ). Proses untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir ini pula jika waris tidak mengetahui caranya , akan memakan masa bertahun-tahun lamanya dan kosnya pun akan mencecah ribuan ringgit.

Dari segi hak pula, penama sebenarnya hanyalah Wasi ( pemegang amanah ). Walaupun ahli meletakkan penama isteri dan anak-anak serta meletakkan peratusan yang mereka ingini, penama ini memang akan menerima pembayaran dari KWSP tetapi wang itu boleh dituntut oleh waris-waris lain yang berhak mengikut Hukum Faraid. Jadi pemberian wang itu bukanlah bersifat ‘absolute’

Jadi, nak letak penama ke tidak ? Di dalam pasaran hari ini ada syarikat amanah yang mempromosikan JANGAN LETAK PENAMA untuk akaun KWSP kerana menurut mereka ada kemungkinan penama tidak menjalankan tanggungjawab sebagai Wasi dan sapu habis wang itu ! Menurut mereka lagi, lebih baik ahli KWSP membuat wasiat dan melantik mereka sebagai Wasi. Syarikat amanahlah yang akan menuntut wang ini dan mengagihkannya kepada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Faraid. Masalahnya, jika ini pilihan ahli KWSP, waris-waris terpaksa melalui proses perundangan yang sukar, memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan dan membayar kos yang mahal.

Pandangan peribadi saya? Saya katakan lebih baik letak penama untuk akaun KWSP. Namun pastikan penama itu ialah orang yang sama kita lantik sebagai Wasi ( di dalam wasiat ) kerana dia akan menjalankan tanggungjawab mengumpulkan semua harta kita, membayar hutang kita dan mengagih harta pusaka kita kepada waris mengikut Hukum Faraid atau permuafakatan. Jika diletak penama juga, proses pembayaran dari KWSP kepada penama akan menjadi lebih cepat ( di dalam tempoh 3 minggu sahaja ) dan kosnya juga amat murah berbanding jika kita membiarkan syarikat amanah menuntut wang itu.

Jadi, tepuk dada tanya iman, renung muka isteri dan anak-anak kita. Adakah kita tergamak membiarkan mereka kesusahan selepas ketiadaan kita kelak ? Hmmmm…….( Sambil mengeruk kepala yang tak gatal!)




En. Ariffin Sabirin
Penasihat Wasiyyah Shoppe


EmoticonEmoticon