Celik Pusaka

Rakan Pewarisan Komprehensif Patuh Syarak Anda

WASIAT... WASIAT... WASIAT

Di mana sahaja saya pergi orang akan bertanya pada saya tentang wasiat. Mereka nak buat wasiat sebab nak membahagikan harta kepada anak-anak dan isteri. Rumah nak wasiat kepada isteri, duit akaun bank nak bagi pada anak sulung, duit dalam akaun Lembaga Tabung Haji pula nak bagi pada anak kedua. Segala apa yang ada dalam wasiat itu merujuk kepada hasrat pewasiat bagaimana nak membahagikan hartanya.

Sebenarnya isu wasiat kepada waris ni jenuh dah saya bercerita di seluruh Malaysia. Orang Islam yang membuat wasiat pembahagian harta pusaka kepada waris ini, hasratnya hanya akan terlaksana jika DIPERSETUJUI OLEH SEMUA WARIS MENGIKUT HUKUM FARAID selepas kematiannya. Jika ada antara waris mengikut Hukum Faraid tidak bersetuju dengan wasiat ini, maka ia tidak akan terlaksana. Jadi, jika hasrat individu ini ialah untuk membahagi-bahagikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendaki ( waris atau bukan waris ) dan dia mahukan hasrat itu berkuatkuasa, instrumen paling tepat untuk disediakan ialah HIBAH dan BUKANNYA WASIAT.

Dalam pembahagian harta pusaka, fungsi wasiat adalah amat terhad sekali. Dari segi Hukum Syarak, wasiat hanya akan berkuatkuasa jika di dalamnya dinyatakan hasrat pewasiat untuk mewasiatkan harta pusakanya kepada BUKAN WARIS pada kadar maksima 1/3. Ini bermakna, jika seseorang Islam itu membuat wasiat dan di dalam wasiat itu tersebut klausa dia ingin membahagikan harta kepada waris-waris, wasiat itu hanya berkuatkuasa jika dipersetujui oleh waris-warisnya mengikut Hukum Faraid.

Jika seseorang itu  membuat wasiat dan di dalam wasiat itu tersebut klausa dia ingin mewasiatkan harta pusakanya kepada bukan waris tetapi kadarnya lebih dari 1/3 contohnya 1/2, kadar 1/2 itu hanya boleh terlaksana jika semua waris mengikut Hukum Faraid bersetuju dengannya selepas kematian pewasiat. Namun wasiat itu masih boleh berkuatkuasa sekadar 1/3 sahaja. 

Oleh itu orang Islam sebenarnya perlu membuka minda mereka untuk menerima konsep perancangan harta secara Syariah dengan lebih luas lagi. Wasiat hanyalah salah satu dari instumen perancangan dan fungsinya juga amat terhad. Ada banyak instrumen lain yang boleh digunapakai seperti Hibah, Harta Sepencarian dan Amanah.

En. Ariffin Sabirin
CEO Wasiyyah Shoppe


EmoticonEmoticon