Celik Pusaka

Rakan Pewarisan Komprehensif Patuh Syarak Anda

ISU PEMILIKAN SAH TANAH / PEMEGANG AMANAH

Hari ini 6hb Mac 2012 saya masih berada di Pulau Pinang di dalam rangka ceramah harta pusaka. Di Tasek Gelugor, saya didatangi sekumpulan penduduk yang mengadu nasib mereka apabila tanah lot yang mereka beli masih gagal diperolehi gerannya walaupun mereka dah tinggal di situ selama 20 tahun. Apabila disoal siasat barulah saya tahu di mana masalahnya. Seorang tok imam telah menjual 30 unit tanah lot kepada penduduk kampung. Penduduk kampung terpikat untuk membeli kerana harganya murah berbanding tanah lot biasa. Satu perjanjian ditandatangani untuk mengesahkan pembelian ini dan penduduk kampung pun dengan gembiranya membina rumah masing-masing.

Masalah mula timbul apabila selepas sekian lama, geran individu ke atas tanah lot yang dijanjikan masih tidak diperolehi. Rupanya di atas geran asal, nama tok imam ini tercatit sebagai ‘Pemegang Amanah’ kepada kumpulan warisnya. Ini bermakna dari awal lagi, tok imam ini tidak mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa transaksi ke atas tanah tersebut tanpa kebenaran dari kumpulan waris ini. Wang yang dibayar penduduk kampung pula tidak diagihkan kepada waris ini. Dari pandangan mata kasar waris, tanah ini masih menjadi milik sah mereka kerana mereka tidak pernah bersetuju untuk menjual tanah ini dan mereka juga tidak menerima apa-apa wang dari transaksi ini . Di mata undang-undang pula, tok imam ini memang telah bertindak secara salah apabila menjual tanah2 ini kepada penduduk kampung. Di mata penduduk kampung pula, tanah ini milik mereka kerana mereka telah membayar kepada tok imam tersebut. Meminjam kata-kata salah seorang penduduk kampung ,

“Kami beli tanah ni sebab percayakan tok imam. Takkan tok imam nak tipu kami!”

Keadaan menjadi semakin parah apabila ada antara penduduk kampung ini telah meninggal dunia dan waris-waris tidak berhak menuntut kerana tiada bukti pemilikan dalam bentuk geran. Situasi seperti ini bukan kali pertama saya temui. Di seluruh Malaysia keadaan ini saya temui. Puncanya kenapa ? Kerana kita terlalu cepat rambang mata. Apabila ada orang nak jual tanah dengan harga lebih murah dari harga pasaran, kita cepat-cepat membeli tanpa usul periksa sama ada penjual itu adalah pemilik tanah yang sah.

Apa penyelesaian kes ini ? Satu-satunya penyelesaian yang ada ialah tok imam ini mesti bertemu dengan waris-warisnya dan memujuk agar waris bersetuju dengan penjualan tersebut. Dia juga perlu  membayar hak waris mengikut bahagian masing-masing. Selepas itu dia perlu mengeluarkan belanja untuk membuat permohonan tukar syarat tanah ini kepada tanah perumahan di Pejabat Tanah yang kemudiannya diikuti dengan proses pecah lot. Hanya selepas permohonan ini diluluskan dan geran individu dikeluarkan barulah penduduk kampung mempunyai bukti pemilikan jelas terhadap tanah tersebut.

Tapi ada banyak isu yang perlu diselesaikan. Apa jadi jika waris-waris tok imam ini tidak bersetuju ? Apa pula jadi jika Pejabat Tanah tidak meluluskan permohonan status tanah atau jika Majlis Daerah tidak meluluskan pembangunan perumahan ini ? Akhirnya yang menjadi mangsa ialah pembeli. Oleh itu pesanan saya….jika anda ingin membeli hartanah, pastikan isu-isu ini terjawab dengan jelas sebelum sebarang transaksi dibuat. Dalam keadaan ini, penduduk kampung yang menjadi mangsa..kasihan…


En. Ariffin Sabirin
Penasihat Wasiyyah Shoppe


EmoticonEmoticon